IPOH, 20 Oktober- Penganjuran Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa MADANI POLYCC 2023 memfokuskan kepada memperkasa pembudayaan masyarakat dan pembangunan modal insan MADANI dalam kalangan mahasiswa sebagai pelajar TVET Politeknik dan Kolej Komuniti.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, (PUO), Dr. Shamsuri Abdullah berkata konvensyen itu dijadikan medan perbincangan selain mendapatkan input dalam merealisasikan hasrat negara sebagai sebuah negara Madani.
Secara tidak langsung, ia dapat memupuk budaya kepimpinan yang mempunyai ciri-ciri MADANI dalam kalangan mahasiswa khususnya.
"Mereka dapat berbincang, bagaimana untuk merealisasikan hasrat negara menerusi gagasan Malaysia MADANI dalam konteks pemimpin mahasiswa. Peranan mereka ini digerakkan ketika mereka berada di dalam kampus universiti dalam membentuk citra pemikiran dan juga sahsiah mahasiswa.
Ia penting kerana mereka ini adalah pelapis pemimpin-pemimpin pada masa akan datang," kata Dr. Shamsuri dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian konvensyen itu di Dewan Jubli Perak Perak, di Politeknik Ungku Omar, di sini.
Konvensyen anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober itu, turut mendapat kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Kolej Komuniti dengan penyertaan seramai 237 mahasiswa dari seluruh negeri.

Kepimpinan Mahasiswa Madani Polycc 2023 di Politeknik Ungku Omar, Ipoh)