fb fb fb fb fb

Rumah penduduk Felda Lubuk Merbau rosak teruk akibat banjir

Datuk Seri Ghazali penduduk terjejas banjir di Felda Lubuk Merbau

PADANG TERAP, 3 Disember- Banjir yang berlaku dalam tempoh beberapa hari sejak penghujung bulan lalu hingga kini menyebabkan enam buah rumah di Felda Lubuk Merbau dekat Padang Terap, Kedah mengalami kerosakan teruk.
 
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata, kebanyakan rumah bukan sahaja mengalami kerosakan pada bahagian struktur rumah termasuk dinding dan lantai, malah bumbung sebahagian rumah tercabut akibat dibadai arus deras.
 
Selain itu, arus deras turut menyebabkan hakisan tanah dan lantai simen di perkarangan beberapa buah rumah tercabut.
 
Katanya, banjir yang berlaku baru-baru ini melibatkan 32 buah rumah di Felda Lubuk Merbau dan 6 daripadanya mengalami kerosakan amat teruk.
 
Banjir turut menjejaskan 120 penduduk melibatkan 33 keluarga.
 
Datuk Seri Ghazali berkata demikian selepas menyantuni penduduk terjejas banjir di Felda berkenaan serta beberapa buah kampung dan Pusat Pemindahan Sementara, PPS di kawasan berdekatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE