fb fb fb fb fb

MoU antara DBKK dan MCMC pacu Kota Kinabalu jadi Bandar Raya Pintar

FOTO RTM

KOTA KINABALU, 3 Disember- Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited untuk membantu menjayakan misi menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai Smart City.

Ke arah itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata MCMC telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan DBKK bagi merealisasikan wawasan itu.

Menurutnya, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Datuk Bandar DBKK, Datuk Seri Dr Sabin Samitah telah mengadakan perbincangan awal berhubung kerjasama kedua-dua pihak untuk menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu Smart City.

Fahmi menjangkakan keseluruhan usaha itu dijangka menelan belanja lebih RM300 juta.

Katanya bagi fasa pertama kedua-dua pihak akan memberi fokus kepada beberapa modul termasuk pemasangan kamera litar tertutup dan pusat kawalan.

Jelasnya, tertakluk kepada beberapa penelitian dan urusan tatakelola, ia dijangka menelan belanja sekitar RM90 juta.

"Saya telah minta supaya MCMC membantu sedaya upaya kerana kita dapati potensi untuk membantu Bandaraya Kota Kinabalu ini cukup tinggi dan lipahan kepada warga sama ada di sekitar Kota Kinabalu, kita jangka sangat positif dan sangat baik." Katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara DBKK dengan MCMC di Kota Kinabalu.

Fahmi berkata jika semua urusan berjalan lancar, fasa pertama dijangka siap sebelum sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Mengenai liputan telco di Sabah, beliau berkata secara keseluruhan bagi negeri itu syarikat telco yang mempunyai liputan yang terbaik ialah setinggi 86.88 peratus terutama yang mempunyai penduduk yang padat manakala yang tercorot adalah 54.9 peratus.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE