PUTRAJAYA, 21 Januari - Penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti, antara enam fokus Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memperkasakan Agenda Malaysia Berdaya Huni.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penyediaan rumah mampu milik tersebut merupakan teras utama penyampaian perkhidmatan kementerian kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau mahu Program Pemilikan Rumah (HOPE) KPKT digerakkan bagi melihat ekosistem perumahan secara menyeluruh termasuk penyediaan perumahan dan pembiayaan perumahan.
"Sebab itu kita ada misi yang perlu dilunaskan dalam RMKe-12 iaitu penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik.
"Jumlah ini bukan kecil kita perlu ada strategi, kita perlu ada keazaman yang kuat untuk memastikan ia benar-benar dapat dicapai," katanya dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baru 2022 KPKT dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan, di sini.
Ke arah merealisasikan misi tersebut, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) diaktifkan semula.
Mesyuarat pertama dijadual pada 31 Januari ini, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Reezal, satu model baharu berkaitan pembiayaan perumahan yang lebih praktikal akan diperkenalkan bagi mengupayakan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada pembiayaan perumahan, khususnya generasi muda.