KUALA LUMPUR, 11 Disember - Penawaran kediaman mampu milik dalam kawasan bandar seperti Residensi MADANI dan Residensi Wilayah dapat menjamin produktiviti dan meningkatkan akses kepada keperluan asas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, intervensi itu bagi memastikan golongan yang menggerakkan ekonomi harian dapat tinggal di dalam bandar, selari dengan keperluan pekerjaan dan kehidupan mereka.
"Data NAPIC menunjukkan purata harga rumah di Kuala Lumpur kini menghampiri RM790,000, sementara indikator kemampuan pemilikan berada sekitar 4.3 kali ganda pendapatan median isi rumah, berbanding paras selamat antarabangsa sekitar tiga kali ganda," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee di ibu negara.
Residensi Akasia Jubilee merupakan sebahagian daripada 1,402 unit rumah mampu milik yang dibangunkan UDA di Kuala Lumpur selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat.
Setakat ini, 700 unit telah siap, termasuk 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit di Residensi Akasia Jubilee.
Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset itu juga sedang membangunkan Fasa Kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan Residensi Akasia Jubilee dan dijangka siap pada tahun 2029.