KUALA LUMPUR, 11 Disember - Kerajaan sedang meneliti semula Akta Orang Papa 1977 (Akta 183), bagi memastikan pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu berulang golongan gelandangan di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata semakan itu dilakukan oleh agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, penelitian kerangka undang-undang itu bertujuan menentukan dengan lebih jelas akta yang digunapakai serta pihak yang bertanggungjawab dalam menguruskan isu gelandangan secara menyeluruh.
“Saya kira kita memerlukan penyelesaian yang lebih tuntas. JKM dan KPWKM kini sedang meneliti semula akta yang digunapakai, termasuk Akta Orang Papa, bagi menentukan dengan jelas kedudukan undang-undang dan siapa pihak yang bertanggungjawab.
"Ini adalah peluang untuk kita melihat secara lebih teliti pendekatan terbaik dalam menangani isu gelandangan", katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee.
Katanya, kerajaan telah menyediakan beberapa kemudahan khusus bagi menempatkan gelandangan buat sementara waktu, selain menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan makanan melalui saluran yang ditetapkan bagi mengelakkan masalah kebersihan dan pembaziran makanan di kawasan tumpuan bandar.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebahagian gelandangan yang dibawa ke program latihan berjaya menamatkan latihan dan kembali bekerja, namun kemunculan kes baharu menjadikan usaha itu perlu dilakukan secara berterusan dan bersifat jangka panjang.