GUA MUSANG, 7 Julai -Seorang ibu tunggal melalui detik cemas apabila rumah usangnya hampir musnah dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Kerinting, petang semalam.
Mangsa, Nur Aimi Farahin Ramli, yang tinggal bersama seorang anak lelaki berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.45 petang ketika hujan lebat dan angin kencang melanda lebih setengah jam.
“Ketika kejadian, saya dengar bunyi kuat sangat atas bumbung. Saya meluru keluar dan tengok pokok tumbang dah tembus zink rumah.
"Bahagian dapur, bilik tidur dan bilik air rosak teruk. Sekarang ini terpaksa berteduh di bahagian ruang tamu...tidur pun kat situ,” katanya sebak.
Tambah menyedihkan, rumah berusia 50 tahun itu bakal dirobohkan tidak lama lagi kerana terlibat dalam projek pembinaan jalan, menjadikan masa depannya dan anak tidak menentu.
Nur Aimi merayu bantuan rumah yang lebih selesa kerana tidak mampu membaiki kediaman tersebut.