fb fb fb fb fb

JPJ gantung tugas anggota pandu secara bahaya di Simpang Pulai

Tangkap layar video tular kenderaan JPJ dipandu secara berbahaya di Simpang Pulai

PUTRAJAYA, 9 Julai -Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung tugas serta-merta selepas didapati memandu secara berbahaya di Simpang Pulai, Perak dalam kejadian yang tular di media sosial.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, anggota terbabit turut disaman kerana memotong di garisan berkembar selain dilarang memandu kenderaan jabatan.

“Anggota itu digantung tugas serta-merta dan ditempatkan ke jawatan kumpulan di Ibu Pejabat JPJ sehingga siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi memastikan sama ada anggota berkenaan pernah melakukan kesalahan lain sebelum ini.

“JPJ tidak akan berkompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya termasuk anggota JPJ sendiri yang melanggar undang-undang lalu lintas,” tegasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang merakam insiden berkenaan dan menyalurkan maklumat kepada pihak JPJ.

Terdahulu, JPJ menerima aduan berhubung video kenderaan jabatan dipandu secara tidak wajar di Simpang Pulai yang tular di media sosial.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN