KUCHING, 18 Oktober - Kebakaran yang memusnahkan Rumah Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak (SCV), Santubong baru-baru ini disifatkan bukan sekadar kehilangan sebuah rumah warisan, tetapi turut menyentuh emosi rakyat Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, rumah tradisional itu bukan sekadar bahan pameran, sebaliknya melambangkan budaya dan warisan masyarakat Bidayuh yang perlu dikekalkan serta menjadi antara tarikan utama pelancongan negeri.
“Jadi, kita akan berusaha membina semula rumah tersebut sama ada berdasarkan pelan asal, dan mengisinya dengan barangan berkaitan masyarakat Bidayuh. Cabaran itu pasti ada, tetapi tiada yang mustahil untuk diatur,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan semula rumah jenis Panggah itu akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengekalkan keunikan dua jenis rumah tradisional Bidayuh di SCV, termasuk Baruk yang masih kekal berdiri.
Datuk Seri Abdul Karim berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak kebakaran berkenaan.
Beliau menegaskan, insiden itu tidak menjejaskan operasi SCV, dan lawatan pelancong diteruskan seperti biasa. Namun, beliau menasihatkan agar langkah keselamatan dipertingkat, termasuk penyelenggaraan bangunan lama, pemantauan sistem pendawaian, serta kesiapsiagaan petugas sebagai responden pertama bagi mengelak kejadian serupa berulang.
Kebakaran pada 12 Oktober lalu, kira-kira pukul 7.30 malam, memusnahkan hampir keseluruhan struktur rumah berusia 14 tahun itu. Hasil siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas elektrik.
