KUALA NERUS, 18 Oktober - Pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi memantau secara menyeluruh proses Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Ini bagi memastikan proses pemilihan itu berlangsung bersih, telus dan bebas daripada sebarang elemen rasuah serta penyalahgunaan kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, 40 pegawai akan ditempatkan di kawasan 'panas' bagi memastikan tidak berlaku sebarang bentuk sogokan, salah guna kuasa atau politik wang yang boleh menjejaskan integriti pilihan raya.
SPRM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh kawalan dan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
"Kita akan beri tumpuan kerana Sabah sebuah negeri yang besar. Banyak tempat perlu diperhatikan. Tetapi, kita ada sistem yang memudahkan pemantauan. Setakat ini, saya telah mengarahkan tumpuan diberikan di Kota Kinabalu," katanya.
Terdahulu, Tan Sri Azam menghadiri Majlis Tamat Latihan dan Penganugerahan Sijil Kadet Integriti Muda Kor Sukarelawan Mahasiswa Antirasuah KOR SUAR di Unisza, di sini, hari ini.
36 pegawai kadet KOR SUAR berjaya menamatkan latihan dan dianugerahkan sijil kadet integriti muda.