fb fb fb fb fb

25 nelayan Tumpat terima bantuan peralatan bernilai RM50,000

Salah seorang nelayan yang menerima sumbangan set pukat, tong ikan dan jaket keselamatan

TUMPAT, 18 Oktober - Seramai 25 nelayan sekitar Tumpat menerima sumbangan set pukat, tong ikan dan jaket keselamatan dengan nilai keseluruhan melebihi RM50,000.

Inisiatif itu digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Islamic Aid Malaysia (IAM) dengan kerjasama Etiqa Takaful, sebagai usaha membantu komuniti nelayan meningkatkan hasil tangkapan dan memastikan keselamatan mereka ketika turun ke laut.

Para nelayan yang ditemui melahirkan rasa syukur atas sumbangan tersebut yang dapat meringankan beban kos peralatan, selain membantu mereka menjana pendapatan tambahan menjelang musim tengkujuh di Kelantan bulan depan.

Seorang penerima, Rosdi Abdullah, berkata bantuan itu amat bermakna kerana kebanyakan nelayan di kawasan pantai sukar menampung kos membeli peralatan baharu.

1810 KTN NELAYAN PUKAT BANTU123Rosdi Abdullah, penerima

“Benda ni memang kita sangat perlukan. Sekarang ni barang semua mahal, nak beli sendiri pun tak mampu. Harapnya lepas ni lebih banyak NGO datang bantu nelayan di Kampung Genting sebab kebanyakan kami ni nelayan pantai, bukan nelayan laut dalam,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Chik, turut menzahirkan rasa syukur dan berharap dengan penggunaan pukat baharu, hasil tangkapan mereka dapat ditingkatkan.

“Alhamdulillah, syukur pada Allah SWT. Kami ni bukannya orang senang, jadi bila ada yang sudi bantu memang sangat bersyukur. Harap dengan pukat baharu ni, hasil tangkapan kami boleh bertambah sikit,” katanya.

1810 KTN NELAYAN PUKAT BANTU456Abdullah Chik, penerima

Presiden IAM, Zawahir Abdullah, memaklumkan pihaknya telah membelanjakan kira-kira RM2 juta dalam tempoh 10 tahun untuk menyalurkan bantuan serupa kepada komuniti nelayan di seluruh negara.

“Ini kali ketiga kita adakan program di Tumpat. Setakat ini, seramai 75 nelayan telah menerima bantuan pukat melalui sumbangan zakat. Program ini akan diteruskan di dua lagi lokasi iaitu Pontian dan Kuala Muda, Kedah, dengan peruntukan tambahan kira-kira RM100,000,” ujarnya.

Pengarah Wilayah Bahagian Pantai Timur Etiqa Takaful, Muhammad Nurawi Abdul Rashid, pula menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk menyokong inisiatif kebajikan seumpama itu.

“Insya-Allah, Etiqa akan terus beri komitmen untuk capai misi kami, menjadikan dunia tempat yang lebih baik,” katanya.

Setakat ini, program tahunan itu telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 nelayan di seluruh negara.

1810 KTN NELAYAN PUKAT BANTU965Pengarah Wilayah Bahagian Pantai Timur Etiqa Takaful, Muhammad Nurawi Abdul Rashid (kiri) dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE