fb fb fb fb fb

Rumah berusia lebih 150 tahun, hangus terbakar

(Operasi pemadaman kebakaran anggota bomba dari
Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Lebuh Pantai)

GEORGE TOWN, 30 Ogos- Sebuah rumah berusia lebih 150 tahun di Jalan Gemas, George Town hangus dalam kebakaran lewat malam tadi.

Kejadian itu menyebabkan rumah berkeluasan 2500 kaki persegi musnah seratus peratus.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.30 pagi.

Jelas Saadon Moktar, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, tiada sebarang kecederaan akibat kebakaran yang dilaporkan.

Sepasang suami isteri yang merupakan penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri pada awal kejadian.

Menurut Roslan Abdullah, pemilik rumah terbakar, "bunyi makin kuat lepas tu orang perempuan kata panas ni, saya buka pintu bilik.

"Buka pintu bilik dah nampak api semakin marak, lepas tu saya tak boleh buat apa saya tarik perempuan dulu la untuk bawa keluar, pintu pun terus terkunci. Pintu keluar terpaksa ditendang." Jelasnya ketika ditemui pemberita.

(Saadon Moktar, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri ketika ditemui pemberita)

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.28 malam dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

"Nasib baik kerana kebakaran hanya melibatkan sebuah rumah dan tidak merebak ke rumah-rumah yang lain.

"Mengikut keterangan daripada tuan rumah, api dipercayai bermula daripada tingkat atas rumah.

"Kita akan membuat siasatan kebakaran secara menyeluruh untuk memastikan punca kebakaran tersebut." Jelas Saadon Moktar, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri.

Operasi pemadaman itu membabitkan seramai 40 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dan Lebuh Pantai.

Operasi pemadaman kebakaran turut dibantu pasukan bomba sukarela.

Media Baharu