PUTRAJAYA, 25 Ogos - Ruang udara di Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur akan ditutup sementara dari 26 hingga 29 Ogos serta pada 31 Ogos 2025, bagi memberi laluan kepada raptai dan lintas hormat sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan memaklumkan, lintas hormat membabitkan 33 pesawat daripada pelbagai agensi penguatkuasaan. Manakala semua aktiviti dron atau sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) adalah dilarang sepanjang tempoh berkenaan.
Penutupan ruang udara berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari pada 26 hingga 28 Ogos. Seterusnya pada 29 dan 31 Ogos, ia berlangsung dari pukul 8.45 hingga 9.45 pagi, dengan 31 Ogos dikhususkan bagi lintas hormat Hari Kebangsaan.
CAAM menegaskan larangan ini penting bagi memastikan keselamatan penerbangan serta kelancaran sambutan Hari Kebangsaan 2025.