KANGAR, 25 Ogos - Kejadian angin kencang dan hujan lebat kira-kira pukul 5 petang tadi menyebabkan kerosakan pada Sekolah Kebangsaan Seri Perlis.
Sebahagian struktur kayu dan bumbung blok bangunan sekolah berkenaan diterbangkan angin.
Pengarah Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Ariffin berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian sebelum tindakan pembaikan dilaksanakan.
Sebagai langkah kecemasan, seramai 167 murid terjejas membabitkan lima kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dua kelas Tahun Satu, dua kelas Tahun Dua serta sebuah kelas prasekolah akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Beliau memaklumkan perkara itu ketika meninjau SK Seri Perlis sejurus kejadian bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Guru Besar sekolah, Akmal Mat Rata.
Kejadian turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi catatan di laman Facebook beliau.
Sementara itu, sebuah rumah di Kampung Balik Bukit, Chuping turut rosak apabila struktur bumbung diterbangkan ribut dalam kejadian sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor mengesahkan pihaknya sedang menilai kerosakan dialami dan bantuan segera akan disalurkan bagi membaiki kediaman terlibat.