
KUALA LUMPUR, 2 April -Radio Televisyen Malaysia (RTM) menetapkan fokus, menaikkan petunjuk prestasi utama (KPI) serta mempercepat adaptasi teknologi digital dalam usaha memperkukuh peranan sebagai penyiar awam yang relevan dan dipercayai.
- Perkasa platform digital RTM Klik sebagai medium utama interaksi dan tingkatkan engagement melalui telefon dan smart TV.
- Sediakan kandungan boleh diakses bila-bila masa, guna strategi hibrid online dan sentuhan fizikal untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat.
- Manfaatkan kecerdasan buatan untuk tingkatkan mutu kandungan tanpa menggantikan peranan manusia, dengan ketelusan penggunaan teknologi.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, keutamaan utama adalah memperkasa platform digital sebagai medium utama interaksi dengan rakyat.
“Sekarang kita berada pada 6.8 juta, hampir mencapai sasaran 7 juta. Kita perlu memperhebatkan penggunaan RTM Klik. Penglibatan antara rakyat dan RTM Klik penting; maksud engagement di sini ialah sejauh mana rakyat berinteraksi dengan RTM Klik melalui telefon atau smart TV,” katanya dalam sesi RTM @ 80: Tea & Thoughts – Wacana Eksklusif Menyusuri Hala Tuju Masa Depan Penyiaran Negara di Angkasapuri.
Menurut Ashwad, perubahan corak penggunaan media menuntut RTM menyediakan kandungan yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sejajar dengan kehendak pengguna masa kini.
“Dunia dah berubah… orang nak maklumat dan hiburan pada setiap masa, bukan tunggu waktu tertentu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pendekatan RTM kini merangkumi strategi hibrid, iaitu gabungan kehadiran digital dan penglibatan secara fizikal di lapangan.
“Bukan sekadar online tetapi juga offline… sentuhan di lapangan akan mengukuhkan kepercayaan rakyat,” katanya.
Mengulas peranan teknologi, Ashwad berkata RTM akan memanfaatkan perkembangan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan mutu kandungan, namun menegaskan ia tidak menggantikan peranan manusia, sebaliknya ia alat untuk memperhebat kualiti manusia dan produk.
Beliau turut menekankan kepentingan ketelusan dalam penggunaan teknologi tersebut bagi memastikan keyakinan penonton terus terpelihara.
Tambah beliau, kekuatan RTM dalam penghasilan kandungan tempatan akan terus diperkasakan dengan sokongan teknologi bagi meningkatkan daya saing dalam landskap media yang semakin mencabar.
“Kekuatan RTM adalah penghasilan karya tempatan… teknologi akan membantu kita memperhebatkannya,” menurutnya.