fb fb fb fb fb

RTM siap sepenuhnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025 esok

Para peserta perbarisan Hari Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung Ahad ini di Dataran Putrajaya dengan bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, hari ini meninjau Pusat Operasi Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya bagi menilai persiapan akhir pasukan RTM menjelang liputan langsung Sambutan Hari Kebangsaan 2025, esok.

Menurut beliau, RTM sentiasa berusaha melakukan penambahbaikan setiap tahun termasuk memperkenalkan beberapa pembaharuan atau 'game changer' bagi memastikan liputan lebih menarik dan meluas.

“Salah satu game changer yang kita bawa juga pada hari ini adalah boleh pergi ke RTM Klik, jadi mereka seakan akan berada di sana, kita ada kamera 360 maksudnya dia boleh tengok ke depan, ke belakang, ke kir, seolah-olah mereka berada di Putrajaya,” katanya.

Datuk Suhaimi turut menekankan kepentingan penceritaan yang lebih santai di platform digital serta memuji semangat ditunjukkan warga RTM yang dianggap mampu dirasai penonton di rumah mahupun di lokasi acara.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Teknikal RTM, Ts. Mohd Zaidi Zainon berkata, persiapan teknikal liputan telah siap sepenuhnya dengan pemasangan 31 kamera, termasuk teknologi khas seperti 'spider cam', gimbal dan VR 360.

“Tahun lepas kita hanya ada 26 kamera, so tahun ini kita bawakan 31 kamera dan dengan 6 kesan khas kamera yang kita bawakan khas, seperti spider cam, gimbal kamera, kita ada 360 VR untuk tetapan kedua penonton,” jelasnya.

Menurut beliau lebih 300 kru teknikal dan penerbitan telah bersiap sedia sejak 22 Ogos lalu bagi memastikan liputan langsung bermula seawal pukul 4 pagi pada hari kemuncak berjalan lancar.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI