fb fb fb fb fb

KLIA uji sistem pengurusan akses kenderaan baharu

Foto Hiasan/Arkib BERNAMA.

SEPANG, 30 Ogos - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan memulakan ujian percubaan Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) bermula Isnin ini sehingga 30 November 2025.

Ujian yang melibatkan ruang pelepasan di Aras 5 dan ruang ketibaan Aras 3, Terminal 1 bertujuan memperbaiki kelancaran trafik, meningkatkan keselamatan serta memudahkan akses ke terminal.

Bagi Terminal 2, tempoh percubaan VAMS akan bermula dari 15 September hingga 30 November 2025, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan, hari ini.

Sistem ini memperkenalkan kaedah keluar masuk berpandukan masa melalui palang automatik.

Ia direka untuk mengurangkan kesesakan disebabkan oleh kenderaan yang berhenti tanpa kebenaran dan terlalu lama di bahu jalan terminal.

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, lapangan terbang di seluruh dunia kini mengguna pakai kaedah pengurusan tepi jalan lebih pintar bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan pengalaman penumpang.

''Di KLIA, matlamat kami adalah untuk mewujudkan persekitaran lapangan terbang yang lebih selamat, efisien dan mesra penumpang. Terminal adalah antara pengalaman pertama dan terakhir pelancong terhadap Malaysia, dan kami mahu ia mencerminkan hospitaliti serta kecekapan negara, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam kenyataan sama.

Sepanjang fasa percubaan, VAMS memberikan tempoh lanjutan 10 minit untuk kenderaan membuat urusan menurunkan dan mengambil penumpang, sambil memantau kenderaan yang melebihi tempoh tersebut.

Ketika ini, tumpuan diberikan kepada pemantauan corak trafik, tingkah laku pemandu dan prestasi keseluruhan sistem untuk menentukan tempoh kelonggaran dan struktur caj penalti yang sesuai apabila ia dilaksanakan sepenuhnya.

Caj penalti akan hanya diperkenalkan selepas tempoh percubaan berdasarkan data yang dikumpul, bagi memastikan sistem ini seimbang antara aksesibiliti dan pengurusan aliran trafik.

Usaha ini merupakan sebahagian daripada agenda penambahbaikan perkhidmatan Malaysia Airports untuk menjadikan KLIA lebih efisien, berpaksikan rakyat dan berorientasikan masa depan.##

TUN JULIA MOHD TAHIR