fb fb fb fb fb

104 pelawat asing tidak dibenar masuk Malaysia

Foto hiasan/Arkib BERNAMA.

SEPANG, 30 Ogos - Seramai 104 warga asing ditolak masuk ke negara ini selepas didapati tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan memaklumkan, majoriti pelawat dari Bangladesh, India dan Pakistan itu gagal mengemukakan tujuan kemasukan yang jelas ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka juga dikesan tidak mempunyai penginapan atau tiket pulang yang sah selain memberi alasan meragukan bagi menyokong permohonan masuk.

Dalam tempoh 24 jam, AKPS KLIA memeriksa seramai 54,947 pelawat antarabangsa yang direkodkan melalui Terminal 1 dan Terminal 2, melibatkan 362 ketibaan serta 361 pelepasan penerbangan antarabangsa.

AKPS turut memaklumkan usaha sedang dilakukan bagi menghantar pulang 288 pelawat yang tidak dibenarkan masuk dan masih berada di KLIA ke negara asal masing-masing.

TUN JULIA MOHD TAHIR