KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Kepelbagaian kaum di Malaysia perlu dilihat sebagai satu kelebihan; bukan ancaman yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim berpandangan, kepelbagaian tersebut menjadi aset penting ke arah membentuk sebuah negara yang maju dan inklusif.
Jelasnya, tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencipta polemik sehingga mencetuskan pepecahan sewajarnya ditangani segera bagi menjamin kestabilan dan keamanan negara.
"Masih wujud kecenderungan untuk melihat sesuatu isu melalui lensa kaum dan wilayah, namun masih dalam batas yang diterima di Malaysia. Walaupun begitu, rakyat tetap menunjukkan keupayaan untuk bersama, kepentingan negara menjadi keutamaan.
"Nilai patriotisme ini terserlah melalui penghargaan kepada jasa pejuang kemerdekaan serta usaha mengekalkan keamanan.
"Oleh yang demikian, perpaduan masyarakat majmuk malaysia adalah aset negara yang paling berharga yang sukar kita temui di mana-mana negara di dunia," katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Dr Muhamad Fuad juga berpandangan naratif bahawa setiap kaum adalah sebahagian daripada kekuatan Malaysia; perlu sentiasa diterjemahkan melalui dasar pembangunan yang saksama. Ia termasuk memastikan setiap bantuan dan peluang yang disalurkan diberi secara sama rata tanpa mengira kaum dan agama.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula berpandangan, pemupukan nilai perpaduan dan patriotsime perlu diperkasa bagi memperkukuh jati diri; khususnya dalam kalangan generasi muda.
Tegasnya, kegagalan mengambil tindakan proaktif untuk memperkasa perpaduan; bakal menjejaskan keharmonian masyarakat.
"Pengaruh yang tidak baik ini boleh merosakkan generasi baru pada masa akan datang yang mungkin akan terus menghakis semangat patriotisme dan juga nilai perpaduan yang ada dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Sehubungan itu, pemupukan terhadap nilai perpaduan dan semangat patriotik perlu dipupuk sentiasa. Pemerintah dan pemimpin-pemimpin masyarakat mestilah bekerjasama untuk mengukuhkan lagi jati diri, nilai, semangat perpaduan dan patriostisme dalam kalangan rakyat khususnya golongan anak-anak muda generasi baharu hari ini," katanya.