(Suhaimi Sulaiman)
AYER KEROH, 6 Ogos- Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini lebih kreatif melakukan penambahbaikkan dari masa ke semasa bagi meningkatkan standard kualiti dan memenuhi kehendak penonton.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berkata, usaha itu termasuk memperkenalkan pelbagai pengisian yang lebih dinamik dan bergerak seiring dengan perubahan industri media kontemporari masa kini.
Menjadi keutamaan katanya, memastikan semua informasi dan pengisian dapat disiarkan dengan lebih efisyen dan efektif.
Penggunaan RTM klik juga akan digunakan sebaik mungkin bagi memudahkan penonton.
"Saya rasa keluarga RTM sangat suka untuk menambah baik dan mereka sangat kreatif, (kerana itu) saya serahkan saja kepada mereka. Saya rasa ada banyak lagi perkara-perkara yang boleh dilihat (ditambah baik).
"Kita bukan sahaja boleh saksikan menerusi televisyen, tetapi yang penting sekarang ialah kita nak biarkan ramai lagi menonton menerusi RTM Klik, kerana orang sekarang ini tidak duduk di rumah, jadi apabila kita letak siaran di RTM Klik, lebih senang orang menonton.
"Ada juga program yang mungkin tidak ada di televisyen tetapi banyak di RTM Klik, jadi menerusi situlah peranan RTM setiap negeri akan bertambah, maksudnya mereka boleh buat program tidak semestinya (durasi) 30 minit, tetapi tiga atau lima hingga tujuh minit, dan kita letakkan di RTM Klik," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan Konsert Gegau Merdeka 'Perpaduan Cintakan Negara' di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini.
Sementara itu, Suhaimi berkata, penganjuran konsert terbesar Melaka FM itu diyakini berjaya memberikan impak yang cukup positif kepada semua penonton
Konsert yang dibarisi 10 artis terkenal tanah air daripada pelbagai bangsa tersebut sarat dengan pelbagai elemen kebudayaan yang menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan penonton.
"Konsert yang cukup 'rempah'. Ada patriotisme, ada pop yang memenuhi selera setiap umur dan generasi. Saya fikir ini adalah satu kejayaan yang harus dibanggakan," katanya.
Rata rata pengunjung yang ditemui menyifatkan penganjuran konsert berkenaan mengeratkan hubungan silaturrahim antara pendengar dan penyampai radio Melaka FM serta memberi kesedaran mengenai rasa cinta kepada negara.
"Sangat ceria, sangat gembira dapat berkenalan dengan penyampai radio Melaka FM, dapat tahu infomasi mengenai kemerdekaan negara. (Selain itu) dapat jadi satu bangsa, satu negara, hidup satu bangsa, tidak kira bangsa dan kaum," kata Kanis Ramasendram, pengunjung.
"Sangat bagus, dialu-alukan di Melaka khususnya tahun hadapan Tahun Melawat Melaka. Saya pertama kali datang, saya orang Melaka, orang Durian Tunggal, apabila ada konsert patriotik (seperti) ini, kita mesti sokong, meraikan bulan kemerdekaan," Halilah Salaiman, pengunjung.
Penganjuran konsert berkenaan turut mendapat kerjasama daripada MBMB dan Jabatan Penerangan Melaka.
(Marsha Milan Londoh melakukan persembahan pada Konsert Gegau Merdeka
'Perpaduan Cintakan Negara' di Dataran MBMB, Melaka)