KUALA LUMPUR, 6 Ogos - Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang 1 juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden.
Ini sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman barat terhadap Islam.
Komitmen itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengadakan pertemuan secara maya bersama rakan sejawatannya dari Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan, pada Sabtu.
"Saya juga menggunakan kesempatan ini untuk maklumkan kepada Presiden Erdogan terkait usaha Malaysia menentang Islamophobia (permusuhan dan benci ke atas islam) iaitu tindakan membakar Al-Quran di Sweden.
"Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh barat," kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook, pada Ahad.
Pertemuan bersama Erdogan itu turut ditemani Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir.
Anwar berkata, gagasan Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi negara ketika ini turut menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini.
Anwar turut memaklumkan, beliau dan Erdogan turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.
Anwar mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA).
"Untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023.
"Kami turut berbincang terkait kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini," katanya.
Perdana Menteri turut melahirkan rasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia-Turkiye.
"Sayugia saya bersetuju secara prinsip untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat," kata Anwar.
Untuk rekod, jumlah perdagangan dengan Turkiye pada tahun 2022 berjumlah AS$4.62 bilion (meningkat sebanyak 12.6%).
Jumlah lebihan dagangan sebanyak AS$3.33 bilion kerana Turkiye mengimport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.