(Keadaan kereta mangsa yang dihempap pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat
di Kota Bharu, Kelantan)
KOTA BHARU, 6 Ogos- Tiga beranak maut dan dua cedera, manakala lima lagi terselamat dalam kejadian pokok menghempap dua kenderaan di Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, di sini, malam tadi.
Suami isteri, Nik Mohd Zulmi Ramli, 44, dan Nik Amirah Ab Rahman, 40, serta anak bongsu mereka, Nik Aishah Azzahra, 5, maut di lokasi dalam kejadian pada pukul 8.00 malam.
Mayat mereka dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Roslan Omar berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk mengeluarkan mayat tiga beranak yang tersepit itu.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kita lihat mangsa kanak-kanak dipangku ibunya. Pokok itu betul-betul tumbang atas bahagian depan kereta berkenaan.
"Keadaan (kemalangan) itu memang teruk," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.
Keseluruhan operasi termasuk mengeluarkan mangsa, memotong pokok serta kerja pembersihan mengambil masa selama dua jam setengah membabitkan seramai 10 anggota, sebuah jentera dan dua jengkaut.
Mohd Roslan berkata, dua lagi anak pasangan itu, Nik Adilia Zulaikha, 11, dan Nik Adam Zarif, 9, yang cedera dibawa ke Hospital Machang untuk rawatan.
Difahamkan, lima sekeluarga itu menaiki sebuah kereta melalui kawasan berkenaan dari arah Machang ke Kota Bharu.
Pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat tersebut turut menghempap sebuah kereta lain, namun pemandu dan penumpangnya terselamat.
Operasi berkenaan juga melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang ramai.
(Keadaan kereta mangsa yang dihempap pokok tumbang akibat ribut dan hujan lebat
di Kota Bharu, Kelantan)