fb fb fb fb fb

Karnival Jualan Agro Madani Melaka bakal disertai 136 usahawan

(Pengarah FAMA Melaka, Hairudin Yunos (dua, kiri) pada Program Jualan Khas
Agro Madani di tapak Pasar Tani Merlimau/ BERNAMA)

JASIN, 6 Ogos- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka akan mengadakan Karnival Jualan Agro Madani peringkat negeri pada 30 Ogos hingga 3 September depan di Dataran Sejarah Ayer Keroh membabitkan 136 usahawan.

Pengarah FAMA Melaka, Hairudin Yunos berkata karnival itu meliputi beberapa kluster iaitu Industri Makanan dan Asas Tani, florikultur,  makanan segar, makanan popular, kendera saji  dan Jualan Agro MADANI.

Katanya, fokus utama pelaksanaan program adalah untuk memberi penjimatan antara 10 hingga 30 peratus tawaran harga lebih rendah daripada harga pasaran, di samping membantu usahawan memasarkan produk mereka.

"Selain daripada aktiviti jualan, antara tarikan utama pada program ini ialah pertunjukan bunga api sempena Malam Ambang Merdeka, forum perdana, townhall usahawan, pertandingan nyanyian lagu patriotik, petting zoo dan Muay Thai sepanjang lima hari penganjuran program itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


(Pengarah FAMA Melaka, Hairudin Yunos)

Beliau ditemui pada Program Jualan Khas Agro Madani di tapak Pasar Tani Merlimau sempena memperingati pengisytiharan sambutan Hari Peladang kali Pertama pada 6 Ogos 1972.

Dalam pada itu Hairudin berkata FAMA juga menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.2 juta sehingga akhir tahun ini menerusi Program Jualan Agro MADANI.

Setakat Julai, pihaknya telah mencapai nilai jualan sebanyak RM400,000 melibatkan 50 penganjuran.

Ujarnya, FAMA akan menambah operasi jualan melibatkan 250 outlet di lokasi dikenal pasti sehingga Disember melibatkan 140 usahawan tani.

"Kita juga dibantu oleh usahawan yang mengadakan jualan istimewa menyokong program kita ini dengan menjual ayam dengan pengurangan sebanyak RM3. Hari ini kita ada di seluruh Melaka, kita ada tiga 'outlet' di seluruh daerah. Kita ada di Jasin, di pasar tani Merlimau ini kita ada di Melaka Tengah di outlet peruncitan FAMA, milik usahawan kita di Duyong dan kita ada di pasar tani Alor Gajah pagi ini juga, jadi tiga tiga lokasi ini kita langsungkan serentak pada format yang sama juga," katanya.

Media Baharu