(Andy Reza dan Rosdi Omang)
KUALA LUMPUR, 9 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjaya memenangi dua kategori dalam Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022 yang berlangsung di Hotel Majestic di sini malam ini.
Wartawan dan penyunting, Andy Reza Rohadian merangkul pemenang emas Kategori Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail - TV dengan membawa pulang RM5,000, sijil dan trofi menerusi hasil garapan laporan LRT Tergendala, Apa Puncanya? Dan Usul Undi Percaya Terhadap PM: Makna Sebenar dan Kepentingannya.
“Satu penghargaan terbesar, bukan sahaja buat saya tetapi juga untuk RTM. RTM telah menyediakan ruang, peluang dan kepercayaan untuk saya berkarya menerusi laporan berita. Saya berdoa semoga anugerah diterima ini akan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wartawan, bukan sahaja di RTM, malah di seluruh Malaysia untuk memberikan yang terbaik bagi industri kewartawanan negara,” katanya di sini.
Sementara itu, Rosdi Omang daripada Nasional fm merupakan pemenang emas Kategori Laporan Radio Terbaik membawa pulang RM10,000, sijil dan trofi menerusi laporan K-9 (Wira 12-22).
“Alhamdullilah, hari ini kemenangan untuk dua tahun berturut-turut. Saya ucapkan terima kasih kepada isteri dan anak-anak atas pengorbanan, kepada Nasional fm dan terutamanya kepada RTM. Karya yang dihasilkan dengan keikhlasannya, bukan kerana memikirkan kemenangan, anugerah atau apa-apa jua bentuk penghargaan lain. Keikhlasan itu mungkin membawa kemenangan buat kali kedua ini,” katanya.
Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman turut mengakui kemampuan Andy Reza dan Rosdi Omang serta kemenangan mereka juga sudah dijangka Suhaimi.
“Semalam di Singapura kita (RTM) menang dua (anugerah) hari ini kita menang lagi dua. Saya kenal kedua-dua mereka ini, mereka memang hebat. Alhamdullilah, pencapaian yang hebat dan berbangga dengan mereka. RTM miliki ramai yang berpengalaman dan berbakat besar,” katanya.
Semalam, RTM berjaya memenangi dua anugerah di Asia Pacific Broadcasting Awards 2023 di Singapura menerusi kategori Innovasi Dalam Arkib Digital dan Aplikasi OTT.
(Suhaimi Sulaiman (tengah) bersama Andy Reza (kiri) dan Rosdi Omang (kanan) di
Hotel Majestic, Kuala Lumpur)