BALI, 23 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) merangka strategi lebih komprehensif untuk memperkukuhkan lagi jenama stesen penyiaran awam itu di Asia Pasifik.
Ini termasuk memanfaatkan sepenuhnya penggunaan media baharu yang selari dengan teknologi terkini.
Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Suhaimi Sulaiman berkata dengan strategi yang lebih luas itu akan memastikan setiap kandungan yang dikongsi mampu menarik minat penduduk rantau Asia untuk mengikuti siaran RTM.
Tambahnya, dengan strategi itu dapat meningkatkan jumlah audiens dan pendapatan buat RTM.
"Ini dapat dibuktikan apabila Sukan SEA baru-baru ini, kita mempunyai penonton dari Indonesia dan Thailand.
"Seperti yang saya katakan dalam sesi pembentangan tadi, apa salahnya kalau kita buat konsert dengan artis-artis Malaysia yang diminati oleh Indonesia, Thailand dan Singapura dan kita siarkan secara langsung melalui aplikasi TikTok dan mungkin tidak perlu disiarkan secara langsung melalui televisyen pun.
"Ini peluang untuk RTM. Fikirkan tentang nilai komersialnya. Ia platform untuk jana pendapatan menerusi produk dan perkhidmatan yang RTM tawarkan," katanya pada Sidang Kemuncak Asia (AMS) 2023 di sini hari ini.
(Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman dalam sesi pembentangan
Sidang Kemuncak Asia (AMS) 2023 di Bali hari ini)
Terdahulu, Suhaimi menjadi panel dalam sesi pembentangan bertajuk 'Strategi Memastikan Media Tradisional Kekal Relevan Dalam Era Over-the-top (OTT) dan User-generated content (UGC).
AMS Edisi ke-18 berlangsung selama lima hari sejak Ahad lalu disertai lebih 400 peserta yang mewakili 40 buah negara bertemakan ‘Media Memperkasa Kemampanan Ekonomi’.