KUALA LUMPUR, 27 Mac– Suasana Hari Raya Aidilfitri lebih bermakna bagi kakitangan RTM apabila mereka diraikan dalam satu majlis penyerahan sumbangan sempena lebaran.
Majlis yang disempurnakan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman itu sebagai tanda penghargaan buat warga kerja RTM, sama ada yang bakal pulang ke kampung atau mereka yang bertugas pada Syawal nanti.
"Hari ini kita nak bergembira dan beri sedikit buah tangan kepada semua, sama ada yang balik kampung atau yang bertugas di hari raya. Di RTM, kita berkongsi, kalau tahun lepas dah cuti, tahun ini giliran kita bekerja. Tapi suasana Aidilfitri tetap ada, sama ada di kampung atau di konti RTM," katanya.
Beliau turut mengingatkan warga RTM yang bertugas agar terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama organisasi.
Suasana penuh mesra dan ceria, dengan semangat saling menghargai, menjadikan Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat semua warga RTM.