KANGAR, 27 Mac – Keputusan kerajaan memberikan diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi disambut baik oleh rakyat, khususnya golongan perantau yang akan pulang ke kampung halaman.
Langkah itu disifatkan sebagai tepat dalam membantu meringankan beban kewangan pengguna lebuh raya selain menjadikan perjalanan pulang lebih bermakna dan menjimatkan.
Seorang perantau, Muhd Eizaz Ahmad Zainal, menyifatkan potongan tersebut sebagai suatu keprihatinan kerajaan yang sangat dihargai.
“Untuk perantau seperti saya, diskaun ini dapat meringankan beban kami untuk balik kampung. Selain jimat belanja, ia beri kegembiraan sebab dapat balik dengan hati yang seronok.
"Kalau tak ada diskaun pun kami balik, tapi bila ada, memang kami ucap terima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Azmi Hairi Azman turut berpendapat diskaun tol Aidilfitri sangat membantu mereka yang bekerja di luar kawasan.
“Terima kasih atas keprihatinan kerajaan. Diskaun 50 peratus ini memang berguna dan dapat membantu meringankan beban kami yang berada di luar ini,” katanya.
Bagi Shalini Gunaretnam, walaupun tidak menyambut Hari Raya, beliau turut merasai manfaat insentif itu kerana bercuti pulang ke kampung bertemu keluarga dan rakan-rakan.
“Satu peluang untuk saya balik bercuti dengan keluarga, saudara-mara dan jiran-jiran saya yang menyambut Hari Raya,” katanya.
Semalam kerajaan mengumumkan pemberian tol percuma 50 peratus kepada semua kenderaan Kelas 1 bermula 28 Mac pukul 12.01 tengah malam sehingga 29 Mac, pukul 11.59 malam.
Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura (LINKEDUA).