fb fb fb fb fb

RTM perkukuh erti kemerdekaan melalui budaya kerja

Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – RTM memperkukuh erti kemerdekaan melalui budaya kerja menyeluruh termasuk nilai kerja beretika, semangat kebersamaan dan tanggungjawab terhadap negara bersempena dengan Bulan Kebangsaan.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pengukuhan jenama RTM menerusi mutu kandungan siaran dan kreativiti warga kerjanya juga merupakan satu bentuk sumbangan bermakna kepada negara yang wajar dibanggakan dan diteruskan.

"Bagaimana kita bekerja keras dan mengamalkan cara kerja yang berhemah boleh menjadi pengisian kemerdekaan yang baik. Bukan semata-mata mengibarkan bendera, tetapi melihat diri kita apa yang kita buat untuk negara.

"Semangat kemerdekaan tidak harus dilihat dari sudut simbolik semata-mata, sebaliknya diterjemah menerusi sumbangan setiap individu terhadap pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia di Angkasapuri Kota Media sini.

RTM turut merangka pelbagai program sepanjang Bulan Kebangsaan termasuk tayangan drama dan program hiburan yang bersifat mendidik serta menyemai kesedaran tentang pentingnya rakyat Malaysia bekerja keras dan bersatu padu demi membina sebuah negara hebat.

Pengisian program hari ini turut merangkumi Lintas Langsung 3 Suara NASIONALfm dan Selamat Pagi Malaysia bersama Ketua Pengarah Penyiaran, Gimik Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, serta penyerahan Jalur Gemilang kepada Ahli Direktorat dan Ketua Kontinjen Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan bagi tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI