KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Malaysia kini melangkah setapak ke hadapan dalam memperkukuh sistem kehakimannya di peringkat global dengan pelaksanaan Undang-Undang Insolvensi Rentas Sempadan.
Ketua Pengarah Insolvensi Datuk Ishak Bakri menjelaskan bahawa undang-undang itu membolehkan Malaysia mengiktiraf serta terlibat dalam prosedur insolvensi luar negara yang dilihat sebagai satu keperluan penting dalam konteks perdagangan antarabangsa.
"Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggunapakai Undang-Undang Seragam ini supaya kita setaraf dengan negara-negara lain yang mengamalkan prinsip langit terbuka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Lebih 60 negara telah mengguna pakai undang-undang itu, dan Malaysia menjadi negara ke-4 di Asia yang menyertainya.
"Ini isyarat jelas bahawa mahkamah Malaysia akan bekerjasama dengan mahkamah asing dalam menangani isu insolvensi rentas sempadan. Kita mahu pastikan sistem kehakiman kita menjadi sebahagian daripada jaringan kehakiman global," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Insolvensi Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasaan, Fazril Sani Mohamed Fadzil berkata, antara cabaran utama ialah pengesanan aset-aset tersembunyi atau berada di luar negara.
"Penyembunyian aset digital dan fizikal yang berskala kecil sangat sukar dikesan. Sebab itu, kerjasama dengan agensi luar negara dan pentadbir-pentadbir insolvensi antarabangsa amat diperlukan," katanya.
Jabatan Insolvensi kini sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) bersepadu yang akan dilaksanakan bersama rakan strategik dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand.
"Dengan adanya SOP ini, pengesanan dan pemulihan aset boleh dijalankan secara lebih konsisten, berkesan dan pantas," jelasnya.
Syarikat yang menghadapi tekanan kewangan turut disaran menggunakan mekanisme penyelamatan korporat seperti yang diperuntukkan dalam Akta Syarikat 2016 bagi mengelak impak lebih besar terhadap operasi dan tenaga kerja.