KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Kerajaan sedang meneliti secara serius potensi pelaksanaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga jangka panjang yang rendah karbon dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan, kajian pra-kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear telah dijalankan sejak Jun 2024 dan selesai Disember tahun yang sama.
Menurut beliau, kajian tersebut dilaksanakan oleh MyPower Corporation selaku organisasi pelaksana program tenaga nuklear negara, berpandukan pendekatan berfasa oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Kajian ini telah merumuskan bahawa penggunaan tenaga nuklear adalah berdaya maju untuk dilaksanakan dari segi teknikal dan berpotensi menjadi pilihan jangka panjang yang sesuai untuk campuran tenaga negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 24 penemuan utama dan 22 syor strategik telah dikenal pasti melalui kajian berkenaan, termasuk keperluan meneliti aspek keselamatan, sekuriti dan kawal gunaan nuklear (3S) selaras dengan piawaian antarabangsa.
Antara fokus utama fasa seterusnya ialah memperkukuh kesiapsiagaan infrastruktur tenaga nuklear negara, termasuk kerangka perundangan, penilaian lokasi, strategi libat urus bersama pemegang taruh serta pembangunan modal insan.
Kajian ini dilihat sebagai langkah strategik negara dalam memastikan semua proses berkaitan dilaksanakan secara teliti, selamat dan berpandukan data yang sahih sebelum membuat keputusan menyeluruh berhubung pelaksanaan tenaga nuklear dalam perancangan tenaga negara.