fb fb fb fb fb

RTM perkenal tiga program baharu sempena Pengerusi ASEAN

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR, 1 Ogos - Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah memulakan segmen baharunya hari ini iaitu RTM ASEAN yang disiarkan menerusi saluran berita RTM dan RTM Klik.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, segmen itu diadakan sebagai permulaan kepada RTM sempena Malaysia yang akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

"Malaysia akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2025. Jadi kita sudah bersedia di RTM sekarang dengan memulakan dengan kita panggil RTM ASEAN bermula dengan sejam, satu setengah jam, jadi dua jam dan lama-lama akan jadi 24 jam.

"Kita mulakan pada hari ini, kita lihat program-program kita dimana kita lihat dalam segmen itu akan ada elemen-elemen ASEAN, perniagaan ASEAN ataupun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN. Jadi kita mula, kita sudah bersedia untuk itu," kata Suhaimi.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika melawat studio berita baharu RTM dan melihat perjalanan berita dan RTM Asean yang baru bermula pada hari ini, di Angkasapuri.

Sebanyak tiga program dalam segmen RTM ASEAN dihidangkan kepada penonton iaitu 'Malaysia Tonight' bermula pukul 8.30 malam, 'On The Table' 9.00 malam dan 'World Around Us' pukul 9.30 malam.

Suhaimi berkata dengan langkah pertama ini, ia akan menjadi persaingan kepada saluran TV lain.

"Kita juga perlu bersaing dengan saluran-saluran yang lebih hebat seperti CNN atau BBC. Jadi di sinilah peranan kita, kita mula kecil-kecilan tetapi akhirnya kita akan menjadi kuat.

"Kalau kita mula dengan yang besar mungkin akan ada lompong di mana-mana, kita tidak tahu mana nak diisi. Jadi apabila bila kita mula dengan sejam, sejam setengah jam, tahu-tahu nanti akan jadi 24 jam," katanya.

TETITIA YUSOFF