fb fb fb fb fb

RTM rangkul anugerah antarabangsa di Mongolia

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman (kanan) bergambar bersama penerima anugarah ABU Technical Review 2025, Ir. Ts. Ahmad Shafiq Mirza Mansor (tengah)

KUALA LUMPUR, 18 September- Radio Televisyen Malaysia (RTM) meraih pengiktirafan antarabangsa apabila tiga pegawai kanannya bersama rakan kolaborasi dari Digital Nasional Berhad (DNB) dianugerahkan ABU Technical Review 2025 di Ulaanbaatar, Mongolia.

Anugerah itu diberikan menerusi artikel kajian bertajuk “Proof-of-Concept (POC) - Public 5G Network Slicing Technology for RTM Broadcast Facilities and Service Part 2: Execution – Benefits of 5G for Live Event Production”.

Kajian berkenaan menekankan potensi teknologi baharu dalam meningkatkan kualiti produksi siaran langsung.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pencapaian itu membuktikan teknologi RTM diiktiraf di peringkat antarabangsa, selain memastikan rakyat mendapat pengalaman tontonan lebih menyeronokkan.

“Akhirnya, yang mendapat manfaat daripada usaha ini ialah rakyat Malaysia. Mereka bukan sahaja menerima informasi dan hiburan, tetapi juga pengalaman menonton yang lebih menggembirakan.

Apabila penonton gembira, mesej yang disampaikan lebih mudah diingati,” katanya pada Majlis Apresiasi Penganugerahan ABU Technical Review 2025 di Angkasapuri Kota Media, di sini.

Penerima anugerah tersebut ialah Ir. Ts. Ahmad Shafiq Mirza Mansor (Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Fasiliti Teknikal Berita, RTM), TS. Tarmimi Sahad (Timbalan Pengarah, Seksyen Produksi Siaran Luar TV, RTM) dan Engr. Mazlina Mohd Yusoff (Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Perancangan Strategik, RTM).

Ir. Ts. Ahmad Shafiq berkata, kajian berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif RTM dengan kerjasama DNB untuk mencari penyelesaian kepada cabaran penyiaran moden.

“Ini membuktikan RTM bukan sahaja penggiat utama pembangunan teknologi penyiaran, malah berperanan memastikan kita kekal relevan dalam menyampaikan maklumat melalui penyiaran elektronik kepada masyarakat,” jelasnya.

Selain itu, program radio AiFM turut mencatat pencapaian memberangsangkan apabila tersenarai sebagai finalis Anugerah Pengumuman Khidmat Komuniti Radio di Mongolia.

Kejayaan berkenaan mengukuhkan reputasi RTM sebagai organisasi penyiaran serantau yang berinovasi, sekali gus membuktikan kemampuan Malaysia memanfaatkan teknologi masa hadapan demi kepentingan rakyat.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN