SEPANG, 18 September- Malaysia memperkukuh kedudukan dalam rangkaian perdagangan global menerusi kerjasama strategik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng (CGO), China.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerjasama berasaskan model hab kargo kembar itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada Jun tahun lalu.
Beliau menjelaskan, inisiatif itu mampu meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, selain membuka peluang besar dalam sektor bernilai tinggi termasuk e-dagang, elektronik, farmaseutikal, produk halal dan hasil segar.
“Kelebihan Malaysia ialah kita mempunyai rangkaian hubungan udara yang baik di ASEAN.
Visi kami adalah menjadikan KLIA sebagai hab pengumpulan barangan dari rantau ini untuk diedarkan ke seluruh dunia, termasuk pasaran China,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Kerjasama Antarabangsa Zhengzhou–Kuala Lumpur Air Silk Road di sini.
Anthony menambah, model hab kembar itu membolehkan kos dan masa penghantaran dikurangkan, sekali gus membantu perusahaan kecil mengembangkan pasaran mereka dengan sokongan logistik yang lebih efisien.
Setakat ini, sektor kargo udara antara KLIA dan CGO mencatat pertumbuhan kukuh, melonjak daripada 1,812 tan pada 2024 kepada 11,635 tan sehingga September tahun ini.
“Peluang yang ada sangat luas, dan tanggungjawab kerajaan adalah membuka ruang bagi sektor swasta.
Dengan wujudnya kesalinghubungan dan kerjasama ini, saya berharap syarikat serta perusahaan dapat merebut peluang untuk memperluaskan pasaran mereka.”
Menurutnya, usaha memperkukuh sektor kargo udara tidak hanya tertumpu di KLIA, malah akan diperluas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Senai.
“Perkara paling penting ialah kecekapan. Di China, mereka mempermudah prosedur pelepasan kastam untuk barangan dari Kuala Lumpur.
KLIA juga mesti bersedia dengan infrastruktur dan proses yang efisien,” ujarnya lagi.