fb fb fb fb fb

FAMA sasar nilai jualan RM1.6 juta sempena Perak Agrofest 2025

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun (dua, kanan) selepas sidang media penganjuran Perak Agrofest 2025 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng/ Foto RTM

IPOH, 18 September - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak menyasarkan nilai jualan berjumlah RM1.6 juta sepanjang penganjuran Perak Agrofest 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 September ini di Ladang Infoternak Sungai Siput.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, sasaran itu lebih tinggi berbanding RM1.3 juta yang dicatatkan dua tahun lalu.

Sasaran itu diyakini mampu dicapai melalui penyertaan 117 usahawan tempatan melibatkan 123 lot niaga.

"Seratus peratus usahawan tempatan, 50 peratus usahawan baharu, kita bagi keutamaan, peluang kepada usahawan baharu untuk mereka mempamerkan atau menghidang masakan yang mereka ada, 40 peratus usahawan wanita, 34.4 peratus usahawan muda dalam kalangan belia dan beliawanis," kata beliau pada sidang media di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, hari ini.

Perak Agrofest 2025 menyediakan 12 laman wajib dilawati pengunjung, antaranya Laman Padi, Laman Inovasi, Laman Veterinar, Laman Florikultur, Empayar Makanan, serta Laman Zoo dan Night Safari.
 
Selain pameran hasil tani dan teknologi, Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Mesra menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus kepada pengunjung, termasuk jualan Happy Hour dari semasa ke semasa.
 
Perak Agrofest tahun ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 500,000 pengunjung.
 
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dijangka berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian pada 27 September ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN