BUKIT MERTAJAM, 18 September - Penduduk Taman Guar Perahu Indah, Taman Guar Perahu dan Padang Temusu di Pulau Pinang yang terjejas banjir kelmarin berharap pihak pemaju projek perumahan terlibat mematuhi syarat kelulusan kerja tanah yang telah ditetapkan pada masa akan datang.
Pelanggaran itu jelas mereka, memberi kesan terhadap keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat khususnya dan ia turut menyumbang kepada bencana banjir kilat.
Kejadian serupa merupakan kali kedua berlaku pada tahun ini dan ia merupakan insiden yang paling teruk.
" (Banjir) yang ini lagi teruk, habis semua kabinet, almari semua. Semua habis rosak barang-barang, banyak juga yang dibuang, itu pun tak habis lagi cuci. Kena buat tindakan bagi cepat-cepat lah, banjir ini dua kali berlaku, bulan empat sekali, bulan sembilan sekali. Selang berapa bulan sahaja, kami yang menanggung.
"Mungkin (akan) berulang lagi hujung-hujung tahun, sebab musim hujan, kasihan sebab dalam rumah ada bapa mentua, ada datuk yang tak boleh bangun. Kalau kami tak duduk di rumah masa kejadian, siapa nak angkat," kata penduduk, Naim Amir.
"Kami penduduk kawasan ini, jalan dua ini dah dua kali (dilanda banjir). Dua kali, bulan empat dulu dengan yang terbaharu ini, banjir ini yang paling teruk sekali sebab dulu tak sampai masuk dalam rumah, sekarang ini yang paling teruk sekali dan berharap pihak yang berwajib, yang berkenaan dengan pemaju perumahan ini ambil berat," jelas Ramli Hamat, penduduk.
Semalam, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengeluarkan Notis Henti Kerja kepada pemaju projek pembangunan di Lot PT 63, Mukim 20.
Ia selepas didapati berlaku pelanggaran syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Menurut MBSP, siasatan mendapati pemaju gagal mematuhi syarat kelulusan kerja tanah termasuk tidak menyediakan kolam mendapan, parit sementara dan ban pengadang.
Pemaju turut diarahkan mengemukakan pelan mitigasi baharu selain melaksanakan kerja pembersihan, pembesaran kolam mendapan serta pemasangan dinding pelindung.