fb fb fb fb fb

ASEAN Green Future: Perubahan gaya hidup capai sifar karbon menjelang 2050

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 September - Perubahan gaya hidup perlu menjadi teras utama dalam usaha Malaysia mencapai sasaran sifar karbon menjelang 2050, sekali gus merealisasikan impian ASEAN Green Future.

Pensyarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Zainal Abidin Sanusi berkata langkah itu meliputi amalan penjimatan tenaga serta pengukuhan budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, statistik menunjukkan kadar kitar semula di Malaysia pada tahun lalu berada pada kadar 30.8 peratus.

“Amalan ini sudah lama diperkatakan, namun pelaksanaannya perlu dipertingkatkan kerana kitar semula bukan sahaja mengurangkan sisa, malah menyumbang kepada pengukuhan ekonomi kitaran," katanya ketika ditemui Berita RTM, di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan wajar memperkenalkan galakan lebih menyeluruh kepada isi rumah dan industri untuk mengguna pakai tenaga boleh baharu, khususnya solar, bagi menyokong agenda kelestarian.

Penggunaan panel solar katanya, terbukti mampu mengurangkan kos elektrik sehingga 60 peratus, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.

Dalam masa sama, pengembangan tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik (EV) juga perlu dipercepatkan dengan sokongan pasaran serta penyediaan lebih banyak stesen pengecasan bagi menggalakkan peralihan rakyat kepada mobiliti rendah karbon.

Mengulas mengenai kedudukan Malaysia dalam mencapai matlamat itu, Zainal Abidin berkata usaha hijau tidak boleh digerakkan secara bersendirian.

Tambahnya, aspirasi ASEAN untuk membina masa depan hijau tidak hanya bergantung kepada dasar dan teknologi, tetapi juga kesedaran rakyat serta komitmen negara anggota untuk bergerak seiring dalam mencapai matlamat sifar bersih itu direalisasikan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN