SHAH ALAM, 30 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memanfaatkan teknologi secara optimum bagi memperkukuh kualiti penyampaian program serta memperluas capaian kepada penonton baharu.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, langkah itu dapat dilihat menerusi program Salam Baitullah edisi kali ini yang memasuki musim ke-17 menggunakan pendekatan baharu seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan hologram berdefinisi tinggi.
"Penggunaan teknologi bukan sekadar bersifat pelengkap, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penambahbaikan dalam pendekatan dakwah dan penyampaian ilmu yang lebih kreatif serta menghiburkan.
"Setiap teknologi yang diguna pakai harus relevan dan boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian penonton. Ia bukan sekadar penggunaan semata-mata, tetapi bertujuan mempertingkat kualiti kandungan agar lebih dekat di hati masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kuiz Terkumpul Salam Baitullah 2025 di sini.
Menurut Datuk Suhaimi pendekatan itu juga sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat sekali gus memantapkan kerja pasukan penerbitan RTM digalakkan untuk sentiasa mendalami ilmu baharu, termasuk dalam aspek penguasaan teknologi terkini.
"Dalam era digital ini, kita tidak boleh kekal dengan kaedah lama. Penyampaian mesej harus disampaikan secara lebih kreatif dan mampu menarik perhatian penonton, sama ada di kaca televisyen mahupun di peranti mudah alih," katanya lagi.
RTM turut menekankan strategi dalam memastikan kandungan yang disampaikan bukan sahaja bersifat mendidik, tetapi juga mampu menyentuh emosi dan hati penonton.
"Ini sekali gus mendorong penonton untuk terus setia mengikuti dan mendekati pelbagai program berunsur ilmu yang disediakan," katanya.