KUALA LUMPUR, 21 Mac –Dalam semangat Ramadan penuh keberkatan, Bahagian Berita Ehwal Semasa (BES), Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Barakahnya Ramadan, Indahnya Syawal 2.0’ di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Program, bertujuan menghargai petugas kesihatan atas perkhidmatan tanpa mengenal penat lelah, di samping menyemai semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Sebagai tanda penghargaan, RTM bersama beberapa syarikat swasta dan jabatan kerajaan selaku penaja menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas di Jabatan Kecemasan dan Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM.
Menurut Timbalan Pengarah BES RTM, Md Shahri Saripan,ini merupakan tahun kedua program seumpama diadakan.
“Tahun lalu, kami mengadakan program sama di KL Sentral bagi mendekati masyarakat yang pulang dari bekerja dan menganjurkan majlis berbuka puasa. Tahun ini, pendekatan berbeza diambil dengan memberi tumpuan kepada petugas kesihatan yang telah berjuang selama lima tahun menghadapi cabaran COVID-19,” katanya.
Beliau turut berharap program berkenaan dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha menghargai petugas kesihatan yang komited menjalankan tugas mereka.

Sementara itu, Pengarah PPUM, Prof. Dr. Nazirah Hasnan, menyatakan rasa penghargaan terhadap inisiatif RTM yang memberikan impak besar kepada petugas kesihatan.
“Apabila RTM datang ke sini dan menyantuni staf kami, mereka berasa sangat dihargai. Pengorbanan mereka, termasuk bekerja tanpa henti, tidak dapat pulang beraya, serta berbuka puasa di tempat kerja, sedikit sebanyak terubat dengan kehadiran dan perhatian ini,” katanya.
Bagi penaja, sumbangan yang diberikan diharap dapat dijadikan motivasi kepada petugas kesihatan terbabit.
"Kita harap dengan sedikit sumbangan dapat memberi, bukan sahaja meringankan beban pada petugas-petugas di hospital, tapi lebih daripada itu sebagai motivasi mereka untuk berusaha bekerja, " kata Timbalan Ketua Pengarah Pertanian, Johari Abdullah.
Manakala Pengurus Kings Park Genting Highlands, Amirah Hamid, turut berkongsi harapan agar inisiatif berkenaan dapat memberikan manfaat kepada komuniti.
“Objektif kami sangat mudah, kami mahu memberi kembali kepada masyarakat kerana Kings Park bukan sekadar pembangunan, tetapi satu komuniti yang ingin berkongsi rezeki, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Jaminan Kualiti (ROLLTI), Nur Assyafa Muhammad Aini, menegaskan sumbangan yang diberikan diharap dapat membantu petugas kesihatan yang sentiasa sibuk dengan tugas merawat pesakit.
“Kami berharap dengan sumbangan ini, ia dapat meringankan beban mereka dan memberi sokongan moral dalam menjalankan tugas,” katanya.
Antara penyampai RTM yang turut serta dalam menjayakan 'Barakahnya Ramadan, Indahnya Syawal 2.0’ ialah Syairul Islam Basmullah, Otto Othman, Iffah Hazim, Munawar Azmi, Athira Aminuddin, Syafiqah Ishak, Raja Suefia Raja Arif, dan Ridwan Mustafa.
Program itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga menyemai nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam masyarakat, sejajar dengan semangat Ramadan yang penuh keberkatan.