PUTRAJAYA, 30 Oktober- RTM mendominasi kemenangan pada malam pertama Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2022 dengan merangkul 14 anugerah daripada 38 kategori yang dipertandingkan.
Tujuh anugerah diterima bagi kategori TV dan tujuh lagi daripada kategori radio.
Anugerah yang diterima bagi kategori TV ialah Montaj TV Terbaik, Liputan Berita TV Terbaik, Suntingan Rancangan TV terbaik, Pelakon Komedi TV Terbaik, Rancangan Sukan TV Terbaik, Pengulas TV Terbaik dan Tatarias TV Terbaik.
Manakala bagi kategori radio, RTM mengungguli anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Drama Radio Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Drama Radio Terbaik, Majalah radio Terbaik dan Dokumentari Radio terbaik.
Selain, Rancangan Interaktif Radio terbaik, Rancangan Agama Radio terbaik dan Pengulas Radio Terbaik.
Menurut Rosdi Omang, meski memenangi dua kategori iaitu Dokumentari Radio Terbaik dan Pengulas Radio Terbaik, namun ia merupakan saingan yang cukup sengit.
"ASA merupakan anugerah yang berprestij, saya amat berterima kasih kepada juri, Nasional FM dan RTM atas kemenangan ini," katanya.
(Rosdi Omang, Pemenang kategori Dokumentari Radio Terbaik dan Pengulas Radio Terbaik)
Sementara itu, bagi pemenang kategori Liputan Berita TV Terbaik, Mohd Faris Izzat Shaharudin dan Andy Reza Rohadian, kemenangan itu disifatkan sebagai batu loncatan untuk menghasilkan lebih banyak laporan berkualiti pada masa hadapan.
"Kami tidak menyangka akan menang pada malam ini kerana pesaing kami merupakan individu sama yang mendapat empat pencalonan," kata Andy Reza.
"Saya cukup teruja apabila mengetahui saya ditugaskan untuk menghasilkan laporan berita berkaitan proses imunisasi bersama Andy kerana saya tahu kualiti kerjanya yang baik," menurut Mohd Faris Izzat.
Pemenang ASA 2022 membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000.
Malam kedua ASA 2022 akan diteruskan pada pukul 9.00 malam ini secara langsung di TV2.