KUALA LUMPUR, 2 Mei- Radio Televisyen Malaysia (RTM) melakar sejarah baharu apabila buat julung kalinya disenaraikan dalam 'Triton Digital’s Global Streaming Rankers' untuk Mac 2025.
Kejayaan cemerlang itu merupakan detik bersejarah bagi Malaysia dan RTM dalam kalangan penyiar audio digital terkemuka dunia, di samping rangkaian terkenal antaranya dari Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Amerika Latin.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, ia bukan sekadar kemenangan untuk RTM, sebaliknya satu pencapaian membanggakan bagi Malaysia dan rantau ASEAN.
"Kami berbesar hati diiktiraf di platform global yang berprestij ini. Ia bukti transformasi digital strategik yang telah kami lakukan melalui RTMKlik dan platform lain," menurut kenyataan itu.
Data terkini mendedahkan bahawa RTM berada di kedudukan ke-30 di seluruh dunia dengan Purata Sesi Aktif (AAS) sebanyak 9,630.
Ia menunjukkan bahawa secara purata, 9,630 sesi mendengar unik yang aktif pada strim digital RTM pada bila-bila masa sepanjang Mac 2025.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif IPSB Technology Mardhiah Nasir berkata, kehadiran RTM dalam Global Rankers meletakkan Malaysia pada peta global penyiaran digital.
"Ia juga menunjukkan bagaimana penyiar ASEAN boleh memimpin dengan kualiti, konsisten dan inovasi dalam penstriman audio," tambahnya.
Pencapaian itu adalah bukti hubungan dan kepimpinan RTM berterusan dalam ruang penyiaran digital dan petanda kepada situasi pada masa akan datang untuk landskap media Asia Tenggara.