fb fb fb fb fb

Kelonggaran visa dijangka lonjak hubungan Malaysia-Kosovo

Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu turut hargai Malaysia sebagai negara pertama mengiktiraf kemerdekaan Kosovo

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Kosovo dijangka melonjak ke tahap lebih tinggi selepas pemansuhan sekatan visa antara kedua-dua negara.

Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu berkata, langkah itu akan memberi kesan besar terhadap pertumbuhan pelancongan, pendidikan dan kerjasama perniagaan antara rakyat kedua-dua negara.

“Kini rakyat Malaysia boleh melancong ke Kosovo tanpa visa sehingga 90 hari, manakala rakyat Kosovo boleh mengunjungi Malaysia selama 30 hari tanpa visa. Ini langkah penting untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Presiden Osmani menyatakan bahawa pengumuman mengenai kelonggaran visa oleh kerajaan Malaysia merupakan satu berita besar di Kosovo dan telah menerima reaksi positif daripada rakyatnya.

“Apabila visa dimansuhkan dengan negara-negara Kesatuan Eropah dan Emiriah Arab Bersatu, jumlah pelancong meningkat mendadak. Kami jangka perkara yang sama berlaku dengan Malaysia,” tambahnya.

Dasar visa bebas ini diyakini bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah mengeratkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Kosovo.

Osmani turut menekankan bahawa hubungan dengan Malaysia bukan sekadar hubungan diplomatik, tetapi juga berdasarkan sokongan moral dan kemanusiaan sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 2008.

“Malaysia adalah negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan kami. Mereka menyokong kami ketika era sukar pembinaan semula pasca-konflik, dan rakyat Kosovo tidak pernah melupakan bantuan itu,” jelasnya.

Beliau juga tegaskan, pembukaan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur turut menyokong usaha memperkukuh kerjasama sokongan diplomatik, pendidikan dan pelaburan di Malaysia serta rantau ASEAN.

"Kehadiran kami di sini adalah satu langkah strategik dan tepat pada masanya, sebagai satu sambungan penting kepada rantau yang sedang membentuk masa depan dasar antarabangsa, pasaran global dan dinamik yang berkembang pesat dalam abad ke-21," katanya.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD