KUALA LUMPUR, 2 Mei- Perkhidmatan dalam talian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengalami gangguan teknikal dijangka pulih secara berperingkat bermula 4 Mei ini.
DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, gangguan teknikal terhadap sistem berkomputer DBKL sejak 27 April lalu masih berlanjutan sehingga kini sekali gus menyebabkan beberapa perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tergendala.
"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi warga kota dan para pelanggan.
"DBKL sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dengan kadar segera dan secara berperingkat, demi memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada orang ramai," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun DBKL memohon semua pihak tidak mempercayai atau berkongsi sebarang berita tidak sahih yang diperolehi daripada mana-mana medium tidak rasmi.
"Kami komited untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada warga kota meskipun berdepan cabaran teknikal yang tidak dijangka," tambah kenyataan itu.
Segala perkembangan akan dikongsi dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi DBKL dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 1800-88-3255.