fb fb fb fb fb

RTM, Bernama diminta tingkat kesedaran masyarakat bayar pinjaman

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 Februari- Organisasi media terutama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diminta memperluas serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab membayar pinjaman.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tanggungjawab membayar pinjaman perlu diutamakan termasuk pinjaman melibatkan agensi-agensi kerajaan, selain kesedaran dalam meningkatkan ibadah pada bulan ramadan.

"Berdasarkan beberapa perbincangan yang pihak kementerian telah adakan termasuk dengan pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta kes-kes viral seperti sitaan premis ataupun rumah yang dimiliki oleh usahawan yang membuat pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA), kita lihat menjelang ramadan, kita perlu tingkatkan usaha untuk menanam dalam sanubari rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang sebenarnya dalam keadaan mampu untuk membuat bayaran.

"Maka wajar mereka laksanakan tanggungjawab untuk membayar semula hutang-hutang termasuk untuk PTPTN, MARA dan sebagainya. Jadi ia adalah hasil daripada siri perbincangan serta kes-kes berprofil tinggi yang kita saksikan dalam media dalam sebulan kebelakangan ini", katanya. 

Fahmi berkata beliau dimaklumkan oleh pihak PTPTN terdapat lebih kurang 10,000 peminjam tegar tidak membayar pinjaman.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Bulan Februari 2025 di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.

ROSLINA BINTI DIN