
KUALA LUMPUR, 31 Mac– Keupayaan memahami perubahan landskap media menjadi faktor penentu bagi memastikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal relevan, selari dengan kepantasan teknologi dan peralihan trend penggunaan kandungan oleh masyarakat masa kini.
- Transformasi digital dipacu AI hadir peluang dan risiko; teknologi mesti dimanfaatkan untuk memperkasa modal insan dan produk RTM.
- RTM perlu bertindak pantas dalam jangka pendek menggunakan platform sedia ada seperti RTMKlik untuk memperhebat kandungan.
- Perubahan media seiring evolusi masyarakat; RTM kekal berpegang pada prinsip asas menangani perubahan dengan pantas dan berkesan.
- RTM merangkul peluang antarabangsa sambil mempertahankan nilai tradisi dan memperkukuh jenama Teman Setia Anda untuk membina kepercayaan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata evolusi media era kini bukan sahaja melibatkan aspek penyampaian, malah cara maklumat diterima oleh khalayak.
Tegas beliau, walaupun landskap kini jauh berbeza berbanding dekad sebelumnya, prinsip asas RTM tetap utuh dalam mendepani setiap perubahan tersebut secara pantas dan berkesan.
“Perubahan yang kita saksikan hari ini bukan sekadar melibatkan aspek media semata-mata, sebaliknya ia seiring dengan evolusi masyarakat dalam konteks bernegara dan bermasyarakat.”
“Di tengah-tengah ketidaktentuan suasana global, situasi ini sebenarnya membuka ruang dan peluang untuk kita tampil lebih berani di pentas antarabangsa,” kata Ashwad.
Beliau ditemui pemberita selepas siaran Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media.
Beliau menambah, Malaysia kini mendepani transformasi digital yang dipacu kecerdasan buatan (AI), yang hadir bersama peluang dan risiko.
Teknologi itu harus dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkasa modal insan serta produk RTM, sekali gus menjadi tunjang utama dalam agenda transformasi organisasi tersebut.
“Sebagai pencipta kandungan, pengamal media, wartawan, mahupun pempengaruh, kita harus menyedari bahawa inilah peluang keemasan untuk memperhebat kandungan serta bakat tempatan.”
“Dalam jangka masa pendek, kita perlu bertindak pantas menggunakan platform sedia ada seperti RTMKlik. Peranan RTM bukan sekadar menghasilkan kandungan, tetapi menyerap masuk ke dalam nadi masyarakat bagi membina kepercayaan dan keyakinan yang berterusan,” jelasnya.
Menjelang sambutan ulang tahun ke-80, RTM terus membuktikan keteguhannya dalam mendepani arus digital tanpa meminggirkan nilai tradisi yang membina jati diri bangsa.
RTM terus memperkukuh jenama ‘Teman Setia Anda’ dengan menjadi nadi kepercayaan masyarakat sekali gus kekal relevan dalam mendepani setiap fasa perubahan landskap media.