PUTRAJAYA, 12 Oktober - Lebih RM595 juta levi berjaya dikutip Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 di seluruh negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini seramai 700,000 pendatang asing telah mendaftar menerusi program tersebut yang akan berakhir 31 Disember ini.
"Tiada pendaftaran pendatang asing akan diterima selepas 31 Disember, namun proses verifikasi permohonan masih diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi KDN 2023, di sini.
Pada 10 Januari lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula Program RTK 2.0 dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing.