BANTING, 4 September - Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang mengkaji kesesuaian penggunaan teknologi rawatan sisa buangan kilang kelapa sawit, RT-ECO dari Singapura.
Usaha tersebut bagi memastikan kemampanan pengeluaran sawit negara.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, teknologi rawatan bahan buangan kilang kelapa sawit itu dilihat sesuai dan dapat memenuhi permintaan pasaran berhubung pemeliharaan alam sekitar.
"Setiap eksport yang dibuat akan ada efluen (bahan buangan), maka efluen-efluen ini menjadi satu kriteria untuk negara menjual kelapa sawit kita supaya masuk dalam kategori kemampanan.
"Jadi ini merupakan salah satu daripada strategi yang digalak daripada inovasi baharu untuk melihat bagaimana pembersihan efluen sebelum air keluar ke longkang," katanya.
Beliau menjelaskan demikian pada sidang media selepas lawatan ke kilang contoh yang menempatkan teknologi tersebut di Banting, Selangor.
Tambah beliau lagi, arahan telah diberikan kepada MPOB untuk melihat keberkesanan teknologi penapisan efluen berkenaan yang disasarkan penggunaannya untuk pengilang kecil sawit.
RT-ECO dikendalikan oleh syarikat Merujaya POME Solutions Sdn Bhd menggunakan teknologi elektrokimia dalam menapis efluen sawit dalam memastikan sisa yang dihasilkan ketika pengeluaran selamat.
Sekaligus, mematuhi standard kemampanan dunia.