VLADIVOSTOK, 4 September- Kuala Lumpur sedia bekerjasama dengan Moscow bagi memperkukuh kerjasama yang sedia terjalin.
Usaha terbabit akan terus dipergiat terutama ketika Malaysia menggalas peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Kesediaan memperkukuh hubungan dinyatakan Perdana Menteri ketika mesyuarat dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Datuk Seri Anwar beri jaminan peranan selaku Pengerusi ASEAN akan dimainkan sebaiknya demi pengukuhan ekonomi negara dan serantau.
"Kami di ASEAN mengalu-alukan penyertaan Rusia untuk bekerjasama. Kami memiliki pasaran terbuka yang khusus dalam bidang semikonduktor dan beberapa lagi rantaian. Saya sedia untuk bekerjasama dengan anda dan pasukan.
"Selaku Pengerusi ASEAN tahun hadapan, saya beri jaminan memastikan rakan negara serantau yang lain akan mengambil pendirian sama untuk memperkukuh kerjasama dengan Rusia,"katanya.
Selain penerokaan bidang baharu kerjasama dalam sektor sedia ada akan terus diperkukuh.
Ini termasuk kerjasama perdagangan dan pelaburan serta TVET.
Turut diberi perhatian sektor pertanian dan keterjaminan makanan serta pelancongan.