KUANTAN, 9 Oktober- Acara Royal Pahang Billfish International Challenge 2023 (RPBIC 2023) berkonsepkan tangkap dan lepas bertujuan mempromosikan sukan memancing ikan layaran di perairan Kuala Rompin yang aktif berhijrah pada Mac hingga September setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata, sebanyak 13 pasukan melibatkan 49 peserta termasuklah lapan peserta dari Jepun dan tiga peserta Singapura menyertai pertandingan selama tiga hari bermula pada 6 Oktober lepas.
RPBIC 2023 diperairan Kuala Rompin yang dikenali sebagai Billfish Capital of Asia menawarkan hadiah wang tunai serta peralatan memancing kesrluruhan bernilai RM71,000.
"Kita nampak selepas penganjuran acara ini, Kuala Rompin semakin naik dan membangun sebagai satu destinasi memancing ikan layaran yang popular di Pahang tetapi juga di Malaysia dan rantau Asia," katanya kepada pemberita di sini.
Tiga kumpulan dari Malaysia mengungguli kedudukan teratas pada kejohanan kali ini dengan Pasukan Xzoga (Juara) dikuti Pasukan Lemax Pro (ke-2) dan LXF-ROH (ke-3).
Manakala tempat ke-4 menjadi milik pasukan dari Jepun iaitu Mutapesca Sammy dan Kohaku X Trident (ke-5) yang dianggotai peserta dari Singapura dan Malaysia.
(Leong Yu Man)