KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara sentiasa memantau status kemajuan perumahan projek perumahan awam dan projek perumahan swasta yang terbengkalai melalui beberapa pendekatan.
Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, antaranya menyarankan beberapa inisiatif serta mengeluarkan surat status projek terbengkalai kepada pembeli yang terkesan agar isu berkenaan dapat diselesaikan.
"Pertama... Pihak bank pembiaya memberikan pengurangan atau pengecualian kadar faedah dan penstrukturan semula pinjaman perumahan atau membatalkan pinjaman atau penyelesaian penuh dengan pengecualian kadar faedah.
"Kedua... Melalui pengelkuaran simpanan kali kedua dari akaun Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP). Ketiga... Pembatalan pinjaman sedia ada dan peminjam diberi peluang memohon pinjaman baharu yang penuh seperti pinjaman kali pertama atau pengecualian faedah sebanyak 4% sepanjang tempoh projek dipulihkan, atau pembiayaan sektor awam," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukan ahli Parlimen Kepala Batas Dr. Siti Mastura Muhammad di Dewan Rakyat di sini.
Bagaimanapun Nga berkata sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan tiada projek perumahan awam yang terbengkalai.
Sehingga 31 Ogos, kira-kira 256 projek perumahan sakit swasta berjaya dipulihkan dengan 225 projek mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).
(Nga Kor Ming)