POKOK SENA, 11 April – Seorang penebar roti canai terbang dari Pokok Sena, Kedah mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia ke Ekspo Osaka Kansai Jepun 2025 yang dijadual berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober.
Muhammad Muiz Ruzaini, 22, dipilih oleh Tourism Malaysia untuk mempersembahkan kemahiran uniknya menebar roti canai terbang kepada pengunjung dari seluruh dunia sepanjang tempoh pameran antarabangsa itu.
“Saya amat bersyukur dan teruja dengan peluang ini untuk memperkenalkan makanan ikonik Malaysia di peringkat global. Ini adalah kali pertama saya menggalas tanggungjawab besar seperti ini di luar negara,” katanya kepada RTM selepas kunjung hormat ke atas Pegawai Daerah Pokok Sena, Mohamad Rizal Mohamad Radzi di pejabatnya, di sini.
Muhammad Muiz turut menyatakan hasrat untuk menggunakan peluang itu sebaik mungkin dalam usaha memperluas industri makanan Malaysia dan mempromosikan sektor pelancongan negara, khususnya bersempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Sementara itu, Mohamad Rizal menyifatkan pemilihan Muiz sebagai satu penghormatan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada seluruh masyarakat Daerah Pokok Sena.
“Muiz memiliki bakat luar biasa dalam menebar roti canai terbang. Kami berbangga dan mendoakan kejayaan beliau dalam mengharumkan nama negeri Kedah dan Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.
Ketika ini, Muhammad Muiz membantu menguruskan perniagaan keluarga mereka, Roti Canai Terbang Pokok Sena, yang terletak berhampiran Balai Polis Pokok Sena.
Kemahiran luar biasa beliau pernah menarik perhatian Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, yang turut berkunjung ke premis tersebut sebelum ini.